
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini 
termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan,
bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, 
kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan
 runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.
3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang
 kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan
 tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
-Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas,
 sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
-Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada
 faktor yang boleh melemahkannya.
-Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu
 yang membatalkan amal ketaatannya.
5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah
 suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai
 halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan
keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan,
 pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.


No comments:
Post a Comment